Monday, February 1, 2010

solat dan hubungannya dengan akhirat

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami ‘ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada ‘ilmu yang Kau ajarkan.

Oleh: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Dipetik daripada kitab Khusyuk dalam Solat

Ketahuilah bahawa hadir hati ketika menunaikan solat itu ialah ‘himmah’ atau semangat dan kemahuan, sejauh mana hasrat seseorang mempengaruhi tindakannya untuk mencapai sesuatu tujuan, sesungguhnya hati itu sering mengikut himmah. Umpama seorang yang berhasrat untuk mendapatkan harta kekayaan atau pangkat dan kedudukan, maka sudah pasti hatinya akan menurut himmah atas kemahuannya. Adalah mustahil seseorang yang bercita-cita untuk menjadi kaya sedangkan dia hanya duduk bersembang di warung-warung dari pagi hingga ke petang.

Hati seseorang itu tidak hadir kecuali kepada perkara yang menjadi cita-cita atau semangat kemahuannya. Ke mana jua tujuan hasrat seseorang itu pastilah hati akan bersama-samanya, dan diikuti oleh pergerakan atau perbuatan akan bersama kemahuan hati itu.

Sejauh mana hadirnya hati seseorang dalam solat adalah bergantung kepada sejauh mana perlunya solat itu bagi dirinya. Adakah solat itu sesuatu yang mustahak baginya? Tentu sekali solat ialah sesuatu yang sangat mustahak bagi manusia yang meyakini bahawa semuanya akan menemui mati dan akan dibangkitkan semula pada hari perhitungan di akhirat kelak. Kerana ibadah solat ialah amalan terawal akan menghadapi hitungan, selain itu hanya akan dihisab selepasnya.

Segala urusan yang diserahkan kepada seseorang mungkin terbengkalai jika dilakukan secara sambil lewa sahaja. Pekerjaan yang dibuat tidak bersungguh-sungguh adalah disebabkan ia tidak meminati urusan itu, atau mungkin urusan tersebut dirasanya tidak begitu penting baginya.

Sebaliknya jika sesuatu urusan itu mustahak sama ada ia mempunyai kepentingan terhadap urusan tersebut, atau disebabkan ia mempunyai natijah yang baik buat dirinya kelak, maka dia akan melakukannya bukan sahaja dengan bersungguh-sungguh, malah sentiasa mengawasi dengan cermat dan teliti hingga menghasilkan kerja-kerja yang cemerlang.

Justeru itu, antara punca yang menjadikan hati seseorang lalai dalam solat adalah kerana mereka tidak menjadikan solat itu sebagai suatu urusan mustahak bagi dirinya. Apatah lagi jika mereka berfikir tiada bezanya orang yang mengerjakan solat dengan orang yang tidak melakukannya, mereka sama-sama boleh makan minum dan hidup selesa.

Adalah menjadi tabiat manusia apabila ia yakin suatu perkara itu penting bagi dirinya, sama ada ia suka atau tidak maka pekerjaan itu pasti dilakukannya dengan bersungguh hati dan fikirannya juga tertumpu sepenuhnya kepada pekerjaan itu. Hal ini demikian kerana tanpa tumpuan fikiran dan dorongan hasrat serta semangat, ia sudah menjangkakan bahawa kerja-kerja itu tidak akan tercapai dengan baik.

Sesungguhnya hati manusia yang tidak hadir bersama ketika mengerjakan solat itu tidak pula ketika itu ia berada dalam keadaan kosong atau duduk diam saja, bahkan hati itu akan merayau ke tempat lain. Hati itu juga akan tertumpu kepada perkara-perkara lain.

Seorang yang sedang duduk minum di warung-warung berjam-jam membuang waktu, apabila ia berfikir sekiranya masa yang terbuang itu digunakan untuk berniaga sudah tentu banyak keuntungan yang diperoleh hasil daripada perniagaannya. Jika masa satu jam ia boleh mendapat keuntungan sepuluh ringgit, maka bagaimana pula andainya ia menghabiskan masa dua jam, sudah tentu akan lebih daripada itu keuntungan yang bakal diperolehinya.

Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya:

“Jika ada orang berkata mana-mana orang yang datang melakukan solat ‘Isyak atau Subuh bersamanya nescaya akan diberinya seekor kambing tiap-tiap seorang, nescaya semua orang akan datang menunaikan solat ‘Isyak berjama’ah bersamanya sekalipun datangnya dengan cara mengesot.”

Sesungguhnya manusia tidak akan menganggap solat itu sebagai suatu perkara utama selama ia tidak menganggap bahawa solat itu sangat mustahak bagi dirinya ketika di hari akhirat kelak. Solat tidak akan dianggap sebagai suatu yang mustahak bagi urusan akhirat seseorang, sekiranya ia tidak merasakan bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal berbanding dengan kehidupan dunia yang memperdaya ini.

Manusia akan meninggalkan keuntungan yang bernilai lima ringgit jika ia tahu ada perniagaan yang menawarkan keuntungan sepuluh ringgit, dan sepulu ringgit itupun akan ditinggalkan jika ada perniagaan yang menawarkan keuntungan dua puluh ringgit dan seterusnya. Maka terpulanglah kepada seseorang itu untuk memikirkan mengenai akhirat itu lebih baik dan lebih kekal, orang yang tahu memilih tidak mungkin akan membiarkan kebaikan akhirat dan segala ganjarannya terlepas begitu saja, sedangkan keuntungan dunia yang tidak seberapa itu pun tidak dilepaskannya.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.

No comments:

contengan jalanan

get this widget here